Ahmad Zahid dikejutkan dengan kek hari jadi

Ahmad Zahid dikejutkan dengan kek hari jadi

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikejutkan dengan kek sambutan hari lahir sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung hari ini.

Beberapa Jemaah Menteri turut meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Timbalan Perdana Menteri yang ke-70 itu.

Menerusi perkongsian video di Facebooknya, sambutan berkenaan dimulakan dengan bacaan doa ringkas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Ia disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

“Ini sebahagian daripada kenangan terindah bersama rakan ahli Jemaah Kabinet yang turut sama menyertai acara potong kek sebentar tadi.

“Terima kasih semua meraikan hari kelahiran saya dan turut disambut oleh dua cucu saya yang berkongsi tarikh sama hari ini,” katanya.

Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepada sahabat dan teman seluruh negara yang mendoakan dan mengirim ucapan menerusi pelbagai media sosial.

“Terima kasih juga kepada sahabat dan teman seluruh negara yang mendoakan dan mengirim ucapan melalui WhatsApp, Telegram dan media sosial yang tidak mampu saya balas satu persatu,” tulisnya. – Malaysiapost

Komen