Aktifkan Mesyuarat Khas MKN – Ketua Pembangkang

Aktifkan Mesyuarat Khas MKN – Ketua Pembangkang

KERAJAAN digesa bertindak segera dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan penularan varian baharu Covid-19 termasuk mengaktifkan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pengaktifan mesyuarat khas berkenaan adalah bagi memastikan semua jabatan dan agensi kerajaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Bersatu, berkata banyak pihak terutama di media sosial yang melahirkan rasa bimbang berkaitan perkembangan kes Covid-19 di serata dunia, terutamanya di negara China.

Menurutnya, ia seperti dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan iaitu sehingga 31 Disember 2022 sebanyak 4,152 kes varian BA.5.2 dan 3 kes varian BF.7 direkodkan di seluruh negara.

“Ada yang mencadangkan agar Malaysia menutup sempadan atau menghalang kemasukan pengembara dari negara China di pintu-pintu masuk negara.

“Kerajaan harus segera mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi memastikan kepentingan negara terjamin, terutamanya bagi menjaga nyawa rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, SOP berkenaan mestilah bersifat mencegah (preventive) agar penularan varian tersebut dapat dibendung dengan berkesan.

“Ianya haruslah adil kepada semua pihak bagi memelihara kelangsungan kehidupan rakyat, terutama mereka yang terlibat dalam industri pelancongan dan perniagaan.

“SOP tersebut juga mestilah mempunyai perincian yang mampu memantau serta menjejaki pengembara yang berada dalam negara dan mengambil kira keupayaan sistem kesihatan awam (national health care system),” katanya.

Justeru, beliau berpendapat kerajaan wajar dengan segera mengaktifkan Mesyuarat Khas MKN bagi memastikan semua jabatan dan agensi kerajaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Terdahulu Menteri Kesihatan Malaysia Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, mesyuarat Kabinet hari ini akan memutuskan untuk sama membenarkan kemasukan pengembara dari China atau sebaliknya.

Menurutnya, sebarang ketetapan baharu, langkah tambahan termasuk mewajibkan ujian Covid-19 atau perubahan SOP menerima kemasukan pengembara negara terbabit juga akan diputuskan Kabinet. – Malaysiapost

Komen