Anwar hadiri Majlis Mahabbah Ulama

Anwar hadiri Majlis Mahabbah Ulama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Mahabbah Ulama di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi.

Majlis yang memberi manfaat kerohanian, Tausiyah Diniah disampaikan dua ilmuan tersohor, Prof Dr Habib Abdul Hamid Al-Mahdali dan Prof Dr Mehmet Fadil Ceylani (Jailani), iaitu pimpinan Umum Markaz al-Jailani, Istanbul.

“Saya mengucapkan terima kasih atas kehadiran para tetamu dan rakyat Malaysia di Majlis Mahabbah Ulama kali ini.

“Saya berdoa dan berharap agar penganjuran majlis Mahabbah Ulama dan Majlis Ilmu di Kompleks Seri Perdana akan diberkati Allah SWT dan akan berterusan hendaknya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Siraj.

Majlis yang diserikan dengan kehadiran rombongan Markaz al-Jailani Asia Tenggara yang berpusat di Jakarta itu turut dihadiri bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusoff serta bekas Menteri Luar yang juga veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar.

Anwar berkata, selain tausiyah, majlis Mahabbah itu diserikan dengan bacaan Maulid Simtur Duror oleh Pengerusi Muwasolah Baina Ulama Al-Habib Abdullah Abdul Qader Al-Habsyee dan bacaan Hizb Al-Bahr.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menerima Tafsir Al- Jailani edisi bahasa Indonesia yang disampaikan Prof Dr Mehmet Fadil Al-Jailani. – Malaysiapost

Komen