Apa reaksi KJ bila ditanya adakah beliau bakal Presiden Umno?

Apa reaksi KJ bila ditanya adakah beliau bakal Presiden Umno?

BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hanya ketawa tanpa memberikan sebarang reaksi apabila ditanya adakah beliau bakal Presiden Umno.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau itu memberi reaksi demikian menerusi satu video dimuatnaik pemilik akaun Facebook Akmar Hisham Mokhles.

Beliau ditanya secara santai, dipercayai ketika menyaksikan perlawanan bola sepak melibatkan Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Khairy menyatakan beliau mahu menjadi Presiden Umno suatu hari nanti, bermula dengan kemenangan di Parlimen Sungai Buloh.

Beliau bagaimanapun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan.

Sementara itu ditanya mengenai perancangan masa depannya, bekas Ketua Pemuda Umno itu sekadar menjawab “Tunggu dan lihat”.

Mengenai kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut disertai Barisan Nasional (BN), Khairy meminta semua pihak memberi peluang anggota Kabinet menjalankan tugas.

“Negara kita perlukan kestabilan politik, buat masa ini kita perlu bagi peluang kepada kerajaan baharu untuk menjalankan tugas.

“Saya rasa tak bagus kalau kita cepat sangat tukar (kerajaan), jadi kita kena ada kestabilan politik. Tapi jangka panjang kita kena tengoklah,” katanya. – Malaysiapost

Komen