Cadangan 5G Emir Research lebih mahal – Firma UK

Cadangan 5G Emir Research lebih mahal – Firma UK

CADANGAN Emir Research supaya pembahagian semula spektrum 5G kepada enam syarikat pengendali mudah alih tidak akan mengurangkan harga, sebaliknya menjadikan ia lebih mahal.

Syarikat pakar perundingan telekomunikasi yang berpangkalan di United Kingdom memaklumkan enam rangkaian 5G untuk setiap pengendali hanya menjadikan harga empat hingga lima ganda lebih mahal.

“Melancarkan enam rangkaian 5G, satu untuk setiap pengendali mudah alih memerlukan enam kali lebih banyak stesen pangkalan 5G.

“Kos unit bagi setiap stesen pangkalan mungkin lebih rendah sedikit di bawah pilihan enam rangkaian tetapi kami menganggarkan kos keseluruhan sepuluh tahun pemilikan rangkaian 5G di bawah pilihan ini akan menjadi empat hingga lima kali ganda lebih besar daripada di bawah rangkaian borong tunggal (SWN).

“Ini bermakna harga pengguna akhir di bawah SWN dijangka sekitar 60 peratus lebih rendah berbanding dengan penggunaan enam rangkaian 5G,” kata Plum Consulting London LLP dalam laporan mereka.

Laporan disediakan perunding Grant Forsyth, David Lewin dan Profesor William Webb yang turut menyangkal andaian firma itu bahawa SWN melibatkan perkongsian rangkaian capaian radio (RAN) yang aktif.

“Emir Research salah faham bagaimana SWN berfungsi. Setiap pengendali mudah alih akan terus berinovasi dalam rangkaian teras mereka daripada segi perkhidmatan yang ditawarkan, sambil membeli akses 5G pada harga jauh di bawah kos akses 4G.

“Memang tidak akan ada inovasi dalam pembekalan infrastruktur RAN 5G kerana tiada persaingan infrastruktur dalam komponen rangkaian ini.

“Tetapi inovasi ini ditentukan sebahagian besarnya oleh badan piawaian yang berkaitan dan kemudian dilaksanakan oleh vendor rangkaian global,” kata mereka dalam laporan itu.

Firma itu menganggarkan bahawa Digital Nasional Bhd (DNB) memerlukan lebih 10,000 tapak sel untuk menyediakan 90 peratus liputan populasi menjelang 2027.

Mereka menyatakan bahawa DNB mendahului jadualnya dalam memenuhi sasaran pelancaran utamanya sebanyak 80 peratus liputan penduduk menjelang akhir 2024.

“DNB kini telah mencapai liputan 40 peratus setahun selepas memulakan rangkaian, penempatan dan mempunyai dua tahun lagi untuk menyelesaikan baki 40 peratus.

“Oleh sebab itu, perubahan daripada model SWN kepada berbilang rangkaian akses 5G boleh menyebabkan kelewatan yang ketara,” katanya.

Menurut Plum Consulting, kerajaan Malaysia hanya dijangka menyumbang sebahagian kecil daripada dana yang diperlukan DNB menjelang 2025.

“Terdapat kos permulaan sekitar RM800 juta dalam kos korporat RM4 bilion tetapi apabila kos permulaan ini dikecualikan, kos korporat DNB adalah sejajar dengan pengendali mudah alih Malaysia yang lain,” katanya. – Malaysiapost

Komen