Dua bot amfibia untuk APM Pahang

Dua bot amfibia untuk APM Pahang

Ben Ibrahim

PAHANG menjadi negeri pertama memiliki dua bot jenis amfibia bagi memudahkan tugasan menyelamat terutama ketika musim tengkujuh.

Bot bernilai RM1.8 juta itu diserahkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang di pekarangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) hari ini.

Wan Rosdy berkata, bot jenis Sealegs buatan New Zealand itu mampu memuatkan lapan orang.

“Setiap bot bernilai RM900,000 dan akan ditempatkan di depoh APM Pahang bagi tugasan menyelamat.

“Insya-Allah akan datang jika ada keperluan, kerajaan akan menambah pembelian bot dan keperluan lain,” kataya melalui satu hantaran di Facebook hari ini.

Wan Rosdy turut memaklumkan kerajaan Pahang memperuntukkan RM47 juta tahun lalu untuk menghadapi bencana banjir.

Katanya, peruntukan itu termasuklah pembelian aset, tapak pendaratan helikopter, penyediaan sistem pengesanan pergerakan tanah dan juga membina Pusat Pemindahan Kekal (PPK).

“Ini salah satu usaha kerajaan negeri bagi pengurusan tadbir urus yang cekap dan efisien dalam menghadapi krisis banjir,” katanya. – Malaysiapost

Komen