Fahmi minta penjelasan DNB liputan 50% 5G

Fahmi minta penjelasan DNB liputan 50% 5G

MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil meminta penjelasan Digital Nasional Bhd (DNB) berhubung kenyataan rangkaian 5G dalam negara kini meliputi 50 peratus kawasan berpenduduk (COPA).

Dalam ciapan di Twitter, Fahmi memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) masih belum mengesahkan maklumat tersebut.

“Saya fikir DNB mesti menjelaskan bagaimana mereka mendapat angka ini.

“Selepas ini, saya tidak fikir DNB harus menerbitkan (angka) sebelum sebarang pengesahan,” ciapnya.

Beliau mengulas ciapan James Chin yang memuat naik tangkap layar artikel Ketua Pegawai Eksekutif DNB Nasution Mohamed yang melaporkan liputan rangkaian 5G di negara ini mencapai hampir 50 peratus di kawasan berpenduduk pada akhir tahun 2022.

Laporan itu menyebut ia mengatasi sasaran awal sebanyak 40 peratus.

“Media mesti berhenti mencetak berita palsu.

“Saya tidak dapat (isyarat) 4G pun di sebuah bandar di Sarawak. Beli kad data 4G dan kelajuannya seperti 3G atau kurang,” ciap James.

Sebelum ini, DNB dilapor berkata telah mencapai lebih 90 peratus liputan COPA di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor dan kira-kira 50 peratus di Johor, Melaka serta Negeri Sembilan.

Syarikat itu berkata, negeri lain pula kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan akan turut mencapai pelaksanaan rangkaian penuh menjelang 2024 ataupun lebih awal.

DNB, sebuah agensi yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, ditugaskan untuk membina dan mengurus rangkaian 5G. – Malaysiapost

Komen