JSJN rampas 18.4 tan dadah, 3,437 liter cecair dadah sepanjang 2022

JSJN rampas 18.4 tan dadah, 3,437 liter cecair dadah sepanjang 2022

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menahan 163,740 orang sepanjang tahun lalu atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pencegahan) 1983.

Dalam satu kenyataan hari ini, JSJN memaklumkan daripada jumlah berkenaan sebanyak 4,305 kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan tangkapan sebanyak 6,612 orang.

Manakala seramai 1,261 individu ditahan mengikut Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 dan sebanyak 229 sindiket yang melibatkan 709 orang berjaya diberkas.

“Selain itu 15 makmal dadah haram berjaya dibongkar dengan lima tangkapan ke atas ahli kimia. JSJN juga berjaya merampas sebanyak 18.4 tan pelbagai jenis dadah dan 3,437 liter pelbagai jenis cecair dadah.

“JSJN juga telah berjaya merampas sebanyak 106.4 tan daun ketum dan 52,886 liter air ketum yang membawa nilai rampasan adalah sebanyak RM 461 juta,” menurut kenyataan itu.

JSJN memaklumkan, bagi mempergiat tindakan membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah, jabatan berkenaan telah melancarkan Op Tapis Khas Siri 1 hingga Siri 7 di seluruh negara bermula Januari hingga Disember 2022.

Menurutnya, operasi itu menyasarkan kawasan sarang penagih, penempatan Felda, Kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), jeti nelayan, pengkalan haram serta lokasi aktif yang menjalankan kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Sepanjang operasi ini dijalankan, seramai 25,566 individu yang berusia di antara 13 hingga 71 tahun telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah termasuk 4,046 tokan dan 1,444 orang yang dikehendaki (wanted person).

“Sebanyak 2,032.87 kilogram (kg) dan 7,485.68 liter pelbagai jenis dadah telah berjaya dirampas dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM19.2 juta,” katanya.

Menurut JSJN, Op Tapis Khas Siri 7 pada 6 Disember lalu, berjaya menahan 20 ahli kumpulan Bani Tenang termasuk ketua kumpulan itu yang mempromosikan penggunaan ganja secara terbuka, selain merampas 239.62 gram ganja.

Katanya, bagi tahun 2022, seramai 7,512 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 telah dituduh mengikut Seksyen 39C ADB 1952.

JSJN juga memaklumkan tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

“Buktinya, seramai 687 orang penjawat awam telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah. Lima daripada mereka adalah Pegawai Kanan sebuah agensi penguatkuasa di Pahang yang telah ditahan mengikut Seksyen 3(1) ADB LLPK 1985.

“Sepanjang tahun 2022 juga, sejumlah 71,763 kertas siasatan dibuka dan 66,443 kertas siasatan daripadanya berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 92.59 peratus,” katanya.

Bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket dadah yang bernilai RM124 juta telah disita manakala sebanyak RM24.61 juta nilai harta yang telah dilucuthak bagi tahun 2022.

“Sebanyak 101 tan pelbagai jenis dadah, 352,260 liter cecair dadah serta 9,571 biji pil dadah juga dilupuskan pada tahun 2022 dengan anggaran nilai RM103 juta,” katanya.

Selain itu, JSJN turut menjalinkan hubungan kerjasama bersama agensi luar dan antara kejayaannya adalah kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dalam Op Ogma II dan Op Lambkin. – Malaysiapost

Komen