Kerajaan mula proses pinda Perlembagaan Isu kerakyatan anak kepada ibu warga Malaysia di luar negara

Kerajaan mula proses pinda Perlembagaan Isu kerakyatan anak kepada ibu warga Malaysia di luar negara

PROSES pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dimulakan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu kewarganegaraan anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing, yang lahir di luar negara.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang berkata, Kerajaan Perpaduan akan membuat Pindaan pada Bahagian II Jadual Ke-2 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita warga Malaysia di luar negara mendapat hak kerakyatan negara ini, sama seperti anak kepada bapa warga Malaysia yang lahir di luar negara.

Azalina memaklumkan akan mengemukakan Memorandum Jemaah Menteri berhubung pindaan itu ke Kabinet bersama dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, saya dan Saifuddin Nasution dalam masa terdekat akan kemukakan Memorandum Jemaah Menteri bersama ke Kabinet untuk cadangan pindaan Bahagian II Jadual Ke-2 Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan isu kewarganegaraan,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjadikan pindaan Perlembagaan itu sebagai sebahagian daripada manifesto masing-masing. -Malaysiapost

Komen