PBT perlu pastikan tandas awam bertaraf ‘BMW’ – Nga Kor Ming

PBT perlu pastikan tandas awam bertaraf ‘BMW’ – Nga Kor Ming

KEMENTERIAN Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan 155 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara mewujudkan unit pemantauan kebersihan tandas awam.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ia untuk memastikan kerja penyelenggaraan dan tandas awam sentiasa bersih serta teratur kerana berkait dengan imej negara.

Justeru, katanya, setiap tandas awam mesti bertaraf ‘BMW’ iaitu Bersih, Menawan dan Wangi, sekali gus meningkatkan persepsi positif rakyat terhadap PBT.

“Selepas habis kerja di pejabat, saya telah melakukan lawatan mengejut ke tumpuan destinasi pelancong di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

“Saya membuat meninjau dan melihat sendiri kebersihan tandas awam setelah menerima aduan daripada orang ramai.

“Saya dapati tahap kebersihan tandas awam Dataran Merdeka agak memuaskan dan sistem pencahayaan juga berfungsi dengan baik,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Bagaimanapun, kata Kor Ming, siling tandas awam lelaki sudah rosak, sabun cuci tangan tidak diganti dan ada juga paip air tidak berfungsi.

Dalam pada itu, katanya, terdapat beberapa masalah yang perlu diperbaiki di sekitar Dataran Merdeka termasuk padang rumput botak, ruang niaga bawah tanah yang usang serta kotak suis elektrik yang tidak ditutup dengan baik.

“Saya akan bertemu dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dalam masa terdekat.

“KPKT akan mencari jalan penyelesaian terbaik agar infrastruktur dapat dijaga dan diselenggara dengan baik dan berada dalam keadaan memuaskan,” katanya.

Menurutnya, budaya penyelenggaraan wajar dititikberatkan dan dipandang berat oleh semua agensi kerajaan. – Malaysiapost

Komen