PDRM tunggu Singapura jawab permintaan bantu siasatan berkait Tawfiq

PDRM tunggu Singapura jawab permintaan bantu siasatan berkait Tawfiq

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu pihak berkuasa Singapura menjawab permintaan untuk membantu mendapatkan keterangan dalam siasatan berkait dana 1MDB melibatkan Tawfiq Ayman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Din, berkata pihaknya telah menghantar butiran dimohon Singapura berkait siasatan terhadap suami bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz tersebut.

“Kita sedang menunggu jawapan mereka,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today hari ini.

September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani,dilaporkan berkata Bukit Aman mengemukakan permohonan bantuan perundangan bersama (MLA) kepada pihak berkuasa Singapura dalam siasatan melibatkan Tawfiq.

Ia selepas meneliti dokumen dan keterangan yang diperlukan untuk siasatannya.

Sebelum ini, SPRM mendedahkan sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB yang diambil balik dari Singapura membabitkan akaun syarikat milik suami Zeti dan seorang individu lain.

Dana itu dikatakan daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

Media sebelum ini melaporkan, polis Singapura telah memaklumkan Bank Negara berhubung transaksi pada 2015 dan 2016 melibatkan syarikat dikatakan milik Tawfiq dan seorang anaknya.

Pihak berkuasa kedua-dua negara bertemu di Singapura pada Mac tahun lalu, untuk mengenalpasti dokumen dan keterangan diperlukan untuk siasatan. – Malaysiapost

Komen