Pemulihan ekonomi perlu pedulikan golongan M40

Pemulihan ekonomi perlu pedulikan golongan M40

MALAYSIA memerlukan sebuah sistem ekonomi yang mempedulikan golongan M40. Setiap kali idea subsidi atau bantuan bersasar dibincangkan di media, golongan M40 kebiasannya tidak diberi perhatian, walaupun mereka turut terkesan akibat beban percukaian dan tidak menerima bantuan tunai sepertimana golongan B40.

M40 dikategorikan sebagai isi rumah berpendapatan RM4,850 – RM10,959 sebulan. Sebuah keluarga yang berpendapatan RM4,850 di Kuala Lumpur dianggap sebagai M40, sama seperti keluarga lain di Kota Bharu. Tetapi, hakikatnya, kos sara hidup lebih menekan keluarga di kawasan bandar-bandar besar seperti KL, apatah lagi jika mempunyai tanggungan yang banyak. M40 juga menerima tekanan sistem percukaian, di mana ramai pakar ekonomi telah mengatakan bahawa kadar cukai Malaysia tidak adil bagi sebilangan besar individu M40.

Justeru, adalah dicadangkan agar satu lagi kategori diperkenalkan iaitu “M40 bawahan” (lower M40) yang dijangka meliputi 50% isi rumah M40. Golongan ini sepatutnya menerima manfaat sama seperti golongan B40. Ini termasuk subsidi minyak dan Bantuan Sara Hidup.

Bantuan kerajaan juga seharusnya berdasarkan bilangan tanggungan dan lokasi tempat tinggal sesebuah isirumah, bagi mengambil kira faktor inflasi tempatan. Justeru, sebuah keluarga di KL sepatutnya menerima bantuan tunai yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, sistem cukai pendapatan Malaysia harus distruktur semula supaya golongan M40 bawahan ini tidak dicukai secara berlebihan.

Di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya percaya bahawa dasar-dasar ekonomi negara akan direform supaya menjadi lebih adil dan peduli. Ini amat penting bagi kita memulihkan ekonomi negara dan mengeluarkan rakyat dari bebanan kos sara hidup.
.
Faiz Fadzil
Penulis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Pulau Pinang

Komen