Piala AFF: Hanya 59,000 tiket dijual untuk aksi Malaysia-Thailand

Piala AFF: Hanya 59,000 tiket dijual untuk aksi Malaysia-Thailand

HANYA 59,000 tiket akan dijual bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara Malaysia dan Thailand, Sabtu ini.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman, ini kerana 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ berikutan dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang dalam proses pemasangan.

“Situasi itu tidak dapat dielak yang mana FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah berusaha sedaya upaya mencari penyelesaian terbaik.

“Ini dalam memastikan aksi Harimau Malaya sepanjang kempen AFF 2022 tetap dapat dilangsungkan di Stadium Nasional berbanding jika ia diadakan di stadium lain berkapasiti lebih kecil,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu Noor Azman berkata, FAM mengekalkan harga tiket bagi aksi separuh akhir 1 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional, Sabtu ini.

Harga tersebut seperti aksi peringkat kumpulan sebelum ini.

Jelas beliau, berkata harga tiket dewasa ialah RM30 dan kanak-kanak juga kekal RM5 untuk tempat duduk terbuka.

Selain itu, katanya, RM50 bagi tempat duduk Premium dan RM60 bagi tempat duduk Grandstand.

Menurutnya, keputusan itu dibuat secara sebulat suara selepas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mempengerusikan mesyuarat khas bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM di stadium selepas perlawanan menentang Singapura, malam tadi.

“Ia sebagai tanda penghargaan kepada penyokong Harimau Malaya yang memberi sokongan padu kepada pasukan sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 setakat ini.

“Tiket bagi perlawanan separuh akhir pertama itu hanya dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula jam 3 petang ini. Tiada penjualan di kaunter.

“Sebagai perbandingan, harga tiket RM30 bagi tempat duduk terbuka ini sama seperti tiket separuh akhir, Malaysia lawan Thailand pada Piala Suzuki AFF 2018 dan lebih rendah daripada RM40 ketika separuh akhir Piala Suzuki AFF 2014, Malaysia lawan Vietnam,” katanya. – Malaysiapost

Komen