Sabah, Sarawak tentukan projek bawah RM50 juta- Anwar

Sabah, Sarawak tentukan projek bawah RM50 juta- Anwar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menyerahkan kepada Sabah dan Sarawak menentukan ketetapan sepenuhnya sebarang projek bernilai bawah daripada RM50 juta.

Anwar berkata, ia sekaligus dapat mengurangkan keputusan yang dibuat kerajaan pusat meskipun kedua-dua negeri itu mempunyai Jabatan Kerja Raya (JKR) sendiri.

“Justeru kerajaan memutuskan dan Kementerian Kewangan bersetuju bahawa mana-mana projek yang bernilai di bawah RM50 juta diserahkan sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak untuk dilaksanakan dengan mematuhi peraturan kewangan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Kabinet.

Anwar berkata, Sabah dan Sarawak diberikan peruntukan besar namun banyak projek tidak dapat dilaksanakan kerana kerenah pentadbiran yang memerlukan ia dirujuk ke Putrajaya.

Katanya, keputusan itu adalah selaras usaha kerajaan untuk melaksanakan beberapa isu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang tertangguh sejak sekian lama.

“Kita kena ingat akan MA63, jadi kena ada satu tekad politik untuk (mewujudkan) satu semangat Malaysia dengan konsep persekutuan,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Tambun itu turut memaklumkan yang dia akan mengadakan perjumpaan dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg, serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sebelum akhir bulan ini.

Kata Anwar, kerajaan pusat menghormati kebijaksanaan pemimpin di kedua-dua negeri terbabit dan yakin mereka mampu melaksanakan sebarang projek yang tertangguh.

“Kini satu tahap telah dihidupkan semula dan kita (Putrajaya) akan cuba muktamadkan secepat mungkin dalam pertemuan dengan Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah,” tambahnya lagi.- Malaysiapost

Komen