Tiada kegiatan jenayah ‘push pocket’ – PDRM

Tiada kegiatan jenayah ‘push pocket’ – PDRM

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penularan mesej di media sosial yang memberi amaran kepada rakyat Malaysia, kononnya kini terdapat ancaman kegiatan jenayah ‘push pocket’ dan peras ugut di kawasan tumpuan ramai.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata mesej berkenaan mendakwa jenayah terbabit berlaku di kawasan tumpuan ramai seperti lapangan terbang dan stesen transit aliran ringan (LRT).

Menurutnya, penjenayah didakwa akan menyelinap telefon bimbit atau dompet ke dalam poket atau bagasi mangsa, sebelum mendekati mangsa dan menuduhnya sebagai pencuri.

“Mangsa seterusnya akan didesak membayar sejumlah wang dengan alasan untuk menyelesaikan kes.

“Sekiranya tidak bersetuju, mangsa diugut bahawa kejadian ‘curi’ itu akan dilaporkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata, semakan PDRM mendapati mesej berkenaan telah tukar sejak tahun 2016 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial.

“Semakan juga mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima mengenai modus operandi penipuan sedemikian.

“Orang ramai diminta agar tidak mudah percaya dengan sebarang mesej yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya,” katanya.

Beliau berkata, tindakan berkongsi atau menyebar berita-berita sedemikian boleh menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat. – Malaysiapost

Komen