Ahli Umno wajib kekalkan Zahid sebagai Presiden

Ahli Umno wajib kekalkan Zahid sebagai Presiden

KEDUDUKAN dan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno wajib dikekalkan.

Timbalan Ketua Umno Pasir Salak, Khairul Azwan Harun, sehubungan itu mengingatkan ahli Umno agar tidak terperangkap dalam mainan naratif sempit dan jelik oleh musuh parti.

Menurutnya, parti lawan seperti Bersatu dan PAS sememangnya mahu Umno berpecah-belah.

“Kepimpinan dan kebijaksanaan Presiden parti telah memastikan Umno terus relevan dan berada dalam teraju kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Adakah perlu bagi Umno mengubah kedudukan yang ada ini?

“Saya yakin majoriti ahli mahukan kestabilan dan peranan Umno yang besar dalam pentadbiran kerajaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Khairul Azwan, Umno adalah sebuah wadah politik yang sentiasa berpegang kepada prinsip demokrasi dengan memastikan suara ahli melalui perwakilan mereka dibawa ke perhimpunan agung bagi memuktamadkan sesuatu keputusan.

Bahkan katanya, Umno adalah antara parti yang sangat demokratik di Malaysia.

“Perlu diingat perubahan pucuk pimpinan tidak dapat mengubah kedudukan 30 kerusi yang telah dimenangi BN pada PRU15. Negara akan terus ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan untuk tempoh lima tahun lagi.

“Sebarang perubahan pucuk pimpinan yang akan membawa risiko kepada ketidakstabilan politik sehingga menyebabkan keruntuhan Kerajaan Perpaduan wajib dielakkan sama sekali.

“Negara dan rakyat tidak boleh dibelenggu dengan keadaan politik tidak stabil di waktu ekonomi masih belum pulih sepenuhnya serta risiko penularan Covid-19 yang masih wujud,” katanya. – Malaysiapost

Komen