Kenaikan OPR beri kesan kepada perbelanjaan, kos sara hidup rakyat

Kenaikan OPR beri kesan kepada perbelanjaan, kos sara hidup rakyat

LANGKAH Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) akan memberi kesan kepada peningkatkan perbelanjaan rakyat serta kos sara hidup.

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata perkara tersebut perlu diaju kepada BNM kerana sektor perbankan dianggar akan mengutip RM1 bilion setiap bulan daripada kira-kira 10 juta peminjam.

Isham turut mempertahan kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa OPR ditentukan oleh BNM sebagai badan bebas, bukannya kerajaan.

“Bank kutip RM1 billion sebulan dengan jumlah peminjam  di Malaysia ada lebih kurang 10 juta orang.

“Purata peminjam kena bayar RM100 ringgit sebulan, (BNM) naikkan OPR (bermakna) naikkan perbelaniaan kita (rakyat) RM100 sebulan.

“Ini akan beri kesan pada orang ramai, kos sara hidup juga akan meningkat,” katanya pada sesi bersama media di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Isham, isu kenaikan kadar OPR perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan kerana ia akan menimbulkan kemarahan rakyat.

“Kerajaan kena segera tangani isu ini, kalau tidak orang akan marah,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen