Najib hantar petisyen ke PBB, mohon pembebasan atau bicara semula

Najib hantar petisyen ke PBB, mohon pembebasan atau bicara semula

DATUK Seri Najib Razak telah menghantar petisyen kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari (WGAD) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia bagi memohon pembebasan atau perbicaraan semula berhubung rayuan kesnya di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu memohon lima pakar undang-undang antarabangsa untuk memutuskan bahawa penolakan rayuannya adalah tidak adil dan melanggar hak asasi manusia serta Perlembagaan Persekutuan, lapor Sinar Harian.

“Prosiding Mahkamah Persekutuan gagal memberi Najib peluang yang munasabah untuk memberi hujahan dan tidak memberi penangguhan perbicaraan,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu berkaitan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Mengulas lanjut, Muhammad Shafee berkata Mahkamah Persekutuan juga didakwa gagal memberi peluang munasabah dan masa yang mencukupi kepada pasukan pembelaan Najib untuk berhujah mengenai kesnya.

“Mahkamah itu tidak benarkan pembelaan untuk berhujah dalam rayuan terhadap hukuman penjara 12 tahun.

“Pada dasarnya, Najib dihantar ke penjara tanpa diberi peluang membela diri di Mahkamah Persekutuan.

“Beberapa hari terakhir untuk rayuan pada Ogos lalu membawa kepada ‘keadilan tergesa-gesa’ apabila peguam baharu dilantik (Datuk Mohd Zaid Ibrahim) tidak diberi masa yang jelas untuk membaca berpuluh ribu muka dokumen rayuan atau untuk melihat 94 alasan rayuan difailkan peguam sebelum ini.

“UNWGAD yang akan meneliti rayuan itu membabitkan lima hakim hak asasi manusia yang terkenal. Mereka tidak akan dipanggil untuk memutuskan sama ada Najib bersalah atau tidak tetapi untuk menentukan sama ada perbicaraannya adil,” katanya.

Tambah Muhammad Shafee, jika perbicaraan didapati tidak adil, Najib boleh meminta kerajaan membebaskannya atau memberi perbicaraan semula.

“Walaupun keputusan ini tidak menjejaskan secara langsung, ia amat memberi impak kerana Malaysia mempunyai ahli perundangan terkenal dan kini menjadi ahli kumpulan kerja terbabit,” katanya. – Malaysiapost

Komen