PM perlu perhalusi kenaikan OPR – DPIM

PM perlu perhalusi kenaikan OPR – DPIM

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyeru Perdana Menteri Datuk Seri perhalusi isu peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) yang memberi kesan negatif kepada peniaga dan pengguna.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, Bank Negara Malaysia (BNM)  menaikkan OPR untuk menjadikan pasaran modal negara seiring dengan negara lain apabila Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) terus menaikkan kadar faedah pada tahun ini.

Katanya, kenaikan kadar faedah berkenaan bagi menurunkan permintaan dalam ekonomi yang dikatakan menjadi punca kepada kenaikan inflasi.

“Sekiranya tidak dinaikkan, maka berkemungkinan pelabur asing dan tempatan akan memindahkan pelaburan ke luar negara kerana faedah yang ditawarkan lebih menguntungkan mereka.

“Kemudiannya, nilai mata wang ringgit akan turut jatuh apabila penukaran dari ringgit kepada dolar Amerika untuk membawanya ke luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahir berkata, inflasi di Malaysia turut dipengaruhi oleh subsidi yang diberikan oleh kerajaan dan penetapan harga siling barangan keperluan asas.

“Inflasi negara kita boleh dikurangkan dengan cara mengurangkan pergantungan kepada barang-barang import, seterusnya bergantung kepada produk tempatan. Dengan cara ini, ringgit dapat diperkukuhkan di samping tidak menaikkan lagi OPR,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata OPR telah dinaikkan empat kali tahun lalu, dari 1.75 peratus kepada 2.75 peratus dan dijangka akan dinaikkan lagi sekurang-kurangnya dua kali pada Januari dan bulan seterusnya.

“Bayangkan berapa ramai rakyat yang akan terkesan dengan kenaikan OPR kepada 3.25 peratus? Bayangkan berapa ramai rakyat kategori M40 akan jatuh ke kategori B40 dan seterusnya kesengsaraan B40 dalam meneruskan kehidupan selepas ini?

“Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk berbincang dengan Gabenor Bank Negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen