Shahrir bersyukur, namun sedih pendakwaan terhadapnya

Shahrir bersyukur, namun sedih pendakwaan terhadapnya

TAN Sri Shahrir Ab Samad yang dilepas dan dibebaskan atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1 juta menzahirkan rasa syukur, namun sedih atas pendakwaan terhadapnya.

Bekas Pengerusi Felda itu berkata, ini kerana pendakwaan terhadapnya telah dilakukan tanpa siasatan sepenuhnya selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memahami asas-asas percukaian pendapatan.

“Ianya penyalahgunaan kuasa!.

“Inilah bahayanya apabila kuasa dipegang oleh pihak yang angkuh dan turut mempunyai prasangka jahat dan mendalam,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurutnya, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin hari ini mengarahkan beliau dibebas dan dilepaskan walaupun Timbalan Pendakwa Raya memohon dibebas tanpa dilepaskan.

“Bulan lepas, Mahkamah Tinggi diberitahu oleh Pegawai Penyiasat SPRM, selaku saksi pendakwaan ke-21, bahawa Tommy Thomas, selaku Peguam Negara, telah memberi izin untuk saya didakwa walaupun siasatan belum lengkap lagi.

“Pengakuan inilah yang telah menyebabkan Pendakwa Raya memohon kepada mahkamah hari ini supaya tuduhan terhadap saya digugurkan,” katanya.

Shahrir dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan wang RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak.

Hakim membuat keputusan berkenaan selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan bekas Pengerusi Felda itu.

Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi dipetik berkata pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes terhadap beliau pada masa datang. – Malaysiapost

Komen