Vaksin Covid-19 dilupus: KP Kesihatan perlu beri penjelasan – Puad

Vaksin Covid-19 dilupus: KP Kesihatan perlu beri penjelasan – Puad

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah digesa memberi penjelasan berhubung jutaan dos vaksin penggalak Covid-19 yang terpaksa dilupuskan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyifatkan ia satu pembaziran besar turut meminta kerajaan menyiasat perkara berkenaan.

Katanya, amat mengejutkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan enam juta dos vaksin penggalak Covid-19 tidak digunakan dan terpaksa dilupuskan.

“Enam juta dos vaksin penggalak Covid-19 tidak digunakan. Ia terpaksa dilupuskan. Bukankah itu pembaziran?.

“Berapa banyak kerugian? Siapa yang order. Siapa pula yang untung. Kenapa kempen penggunaan gagal. Siapa yang bertanggungjawab?,” soalnya menerusi Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Puad berkata, Noor Hisham perlu memberi penjelasan kerana rakyat ingin mengetahui perkara berkenaan.

“Kerajaan baharu mesti siasat kerana Perdana Menteri sendiri yang dedahkan,” katanya.

Mohd Puad mengulas kenyataan Perdana Menteri yang negara mempunyai vaksin Covid-19 yang mencukupi tetapi banyak yang terpaksa dilupuskan kerana kurang sambutan daripada rakyat untuk mengambil dos penggalak.

Anwar dipetik berkata, lebih 49 peratus orang sudah melengkapkan pelalian mengambil dos penggalak dan ketika ini, bekalan vaksin masih ada kira-kira enam juta dos. – Malaysiapost

Komen