Zahid enggan layan khabar angin ‘Langkah London’

Zahid enggan layan khabar angin ‘Langkah London’

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan melayan dakwaan gerakan politik dinamakan ‘Langkah London’ yang dikatakan mahu menjatuhkan kerajaan perpaduan.

Malah, Timbalan Perdana Menteri itu juga tidak berhasrat untuk mengambil tindakan hanya berdasarkan khabar angin semata-mata.

“Saya dengar (khabar angin) itu tapi tak buat keputusan berdasarkan khabar angin,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat satu pertemuan rahsia di London baru-baru ini dan dikatakan sedang mengatur gerakan bagi membuat penjajaran semula politik negara.

Langkah London itu dikatakan cubaan menjatuhkan kerajaan perpaduan membabitkan beberapa pemimpin politik, termasuk daripada Umno dan pemimpin parti pembangkang.

Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan tuduhan beliau antara dua Naib Presiden Umno yang terbabit dalam usaha menjatuhkan Ahmad Zahid menjelang perhimpunan agung parti itu minggu depan.

Ini susulan dakwaan seorang penulis blog bahawa dua Naib Presiden Umno tersebut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin di London untuk menjatuhkan Ahmad Zahid sebagai Presiden.

Menurut dakwaan itu, gerakan sulit yang dinamakan ‘Langkah London’ bertujuan menjatuhkan Ahmad Zahid dalam usaha menggulingkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Malaysiapost

Komen