Zahid yakin pertahan jawatan Presiden Umno jika dicabar

Zahid yakin pertahan jawatan Presiden Umno jika dicabar

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan keyakinannya mempertahankan jawatan itu sekiranya dicabar pada pemilihan Umno akan datang.

Keyakinan itu berdasarkan keputusan pemilihan Umno pada 2018 yang mana Ahmad Zahid dicabar dua calon lain iaitu Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurutnya, beliau tetap mendapat undi tertinggi walaupun undian kedua-dua pencabarnya digabungkan.

“Dulu pun saya dicabar juga, dua orang cabar saya dan undi mereka masih belum sama dengan undi yang saya peroleh. Bukan riak, bukan sombong dan takabur tapi itu terbukti pada 2018.

“Malah kombinasi undi kedua-duanya sangat kurang berbanding undi saya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ramlan Harun.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan kedudukan kepimpinan Umno akan ditentukan oleh hampir 160,000 perwakilan parti di seluruh negara.

“Saya mempunyai pendirian bahawa kuasa untuk menentukan kepimpinan terletak kepada kuasa dan suara perwakilan di seluruh negara.

“Terdapat hampir 160,000 perwakilan yang mewakili cawangan-cawangan untuk menentukan sama ada mahu kepimpinan yang sedia ada atau kepimpinan yang berubah untuk pastikan Umno terus relevan dalam pentas politik negara.

“Kuasa mutlak itu adalah kuasa perwakilan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah Umno bercadang untuk menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti dalam kerajaan perpaduan ke persidangan tahun ini, Ahmad Zahid berkata, Umno tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

“Kita belum berhasrat untuk menjemput parti dalam kerajaan perpaduan supaya hadir dalam majlis ucapan dasar dan perasmian,” katanya.

Sebaliknya, Ahmad Zahid berkata parti bercadang untuk menjemput setiausaha agung parti gabungan dalam kerajaan perpaduan sebagai peringkat permulaan. – Malaysiapost

Komen