BN Sabah tarik balik sokongan terhadap Hajiji

BN Sabah tarik balik sokongan terhadap Hajiji

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan menarik diri daripada kerajaan Sabah selepas hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, selepas mesyuarat parti itu malam ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan Hajiji yang dilihat melanggar perjanjian persefahaman dengan BN susulan keputusan Ketua Menteri Sabah menamatkan lantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurutnya, Hajiji turut mengugut dengan rombakan Kabinet negeri tanpa berunding terlebih dahulu dengan pimpinan BN Sabah.

“Keputusan kami sebulat suara, Umno-BN menarik diri dan menarik sokongan terhadap Hajiji selaku Ketua Menteri, kami sudah hilang kepercayaan.

“Selepas Hajiji keluar daripada Bersatu, kami telah berbincang dengan beberapa peguam dan peguam telah maklumkan bahawa Hajiji telah kehilangan local standi atau tiada kelayakan untuk dipilih sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya dalam satu sidang media, malam ini.

Bung Moktar berkata, Hajiji bukan lagi ketua parti politik bagi maksud Fasal 6(7) Perlembagaan negeri Sabah apabila beliau telah mengisytiharkan keluar daripada Bersatu, iaitu pihak di dalam perjanjian persefahaman politik.

Ujar beliau, dengan penarikan sokongan kepercayaan itu, Hajiji telah hilang majoriti di dalam DUN dan tidak berkelayakan untuk dilantik ke jawatan Ketua Menteri.

Sementara itu, beliau berkata, BN bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ikhlas untuk bekerjasama dengan mereka.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan sama ada tindakan menarik sokongan itu menyebabkan DUN Sabah dibubarkan, Bung Moktar menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan Yang Dipertua Negeri Sabah untuk membuat keputusan.

Terdahulu, Hajiji hari ini mengumumkan Kabinet kerajaan negeri akan dirombak.

Bagaimanapun, perincian mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Hal itu disahkan oleh Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan hari ini. – Malaysiapost

Komen