FAM bentang hala tuju kepada Anwar

FAM bentang hala tuju kepada Anwar

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.

Dalam pertemuan sejam itu, Hamidin berkongsi agenda terkini hala tuju industri bola sepak tempatan terutama persiapan skuad Harimau Malaya yang akan berdepan Thailand pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional di Bukit Jalil, malam esok.

Hamidin juga memaklumkan persiapan skuad kebangsaan menghadapi Piala Asia pada Januari 2024, yang mana skuad kendalian Kim Pan Gon layak secara merit selepas 43 tahun, Jun tahun lalu.

“Saya juga menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Datuk Seri Anwar atas kesudian meluangkan masa membincangkan beberapa agenda penting bola sepak negara terutama perlawanan utama membabitkan skuad kebangsaan.

“Pertemuan ini amat bermakna bagi kami dalam merencana hala tuju masa depan bola sepak negara terutama menjelang perlawanan penting Harimau Malaya, esok.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar, kerana memberi ruang berkongsi visi dan misi FAM, F:30 serta perkembangan pembinaan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan di Putrajaya,” katanya.

Hamidin juga berbesar hati dengan Anwar yang pernah menyandang jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983, menyuarakan sokongan padu beliau buat bola sepak negara. – Malaysiapost

Komen