Kenapa simpan rahsia sampai empat tahun? – Yusof Haslam

Kenapa simpan rahsia sampai empat tahun? – Yusof Haslam

PRODUSER terkenal Datuk Yusof Haslam menjelaskan hanya mengetahui mengenai perkahwinan kedua Syamsul Yusof dengan Ira Kazar, di Thailand hari ini selepas dimaklumkan seorang rakan.

Walaupun tidak dimaklumkan apa-apa mengenai pernikahan itu, Yusof berkata beliau yakin Syamsul sudah cukup dewasa untuk menentukan baik dan buruk sesuatu perkara.

Bagaimanapun, Yusof kesal dengan tindakan Syamsul yang menyembunyikan perkara itu terlalu lama serta tidak berterus terang daripada awal tercetusnya kemelut rumah tangga dengan menantunya, Puteri Sarah Liyana.

“Sebagai bapa, saya hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk anak dan menantu saya, Sarah. Saya yakin mana-mana ibu bapa akan melakukan perkara serupa.

“Cuma, saya sedikit kesal kenapa dia simpan rahsia itu terlalu lama sampai empat tahun? Kenapa tidak berterus terang dari awal kepada isterinya?

“Jadi, tidaklah dia menyeksa hati dan perasaan Sarah serta melukakan hati banyak orang.

“Saya tidak boleh cakap apa lagi kerana benda (pernikahan) pun sudah berlaku. Bagi saya, jika dia berterus terang lebih awal, masalah dapat diselesaikan dengan cepat.

“Tidaklah berpanjangan diperkatakan masyarakat, sehinggakan Sarah menjadi mangsa kutukan apabila dikatakan cuba membuka aib suami,” katanya memetik Berita Harian.

Sementara itu, Yusof berkata walaupun apapun kemelut yang berlaku antara mereka, sebagai bapa beliau tidak pernah berdendam terhadap anaknya, malah, tidak akan membenci atau memboikot Syamsul.

“Saya perlu terima kerana ini soal qada dan qadar dari Allah. Cuma, saya berharap Sarah tabah dalam menghadapi ujian ini. Bagi saya, Sarah ada hak untuk buat apa yang dirasakan betul kerana sebagai isteri, dia yang menanggung perit getir itu.

“Namun, saya ingin berpesan kepada Syamsul agar dia tidak lupa tanggungjawabnya sebagai bapa kepada dua anaknya.

“Seandainya terjadi sesuatu kepada rumah tangga dia dan Sarah, saya mohon dia tetap jalankan tanggungjawab memberi nafkah,” katanya.

Terdahulu, Syamsul mengesahkan sudah berkahwin dua dengan wanita bernama Ira Kazar, hari ini.

Syamsul dalam kemaskini video terbaharu di Instagram berkata, pernikahan itu berwalikan bapa Ira yang juga pelakon veteran, Kazar Saisi.

Dalam video itu, Syamsul turut menjelaskan Puteri Sarah masih lagi isterinya yang sah dan memohon Puteri Sarah pulang ke rumah dan berbincang dengannya. – Malaysiapost

Komen