MKT Umno tolak rayuan Tajuddin, Bahagian Arau digantung

MKT Umno tolak rayuan Tajuddin, Bahagian Arau digantung

MAJLIS Kerja Tertinggi Umno malam tadi memutuskan menolak rayuan penggantungan keahlian bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata, penolakan permohonan disebabkan alasan disiplin yang terkandung dalam perlembagaan Umno.

“Ada rayuan daripada Tajuddin. Ia telah ditolak dan penggantungannya berkuatkuasa hari ini.

“Alasan-alasan disiplin seperti yang terkandung dalam Umno,” katanya selepas mesyuarat MKT malam tadi.

Tajuddin dipecat daripada jawatan MKT Umno menerusi surat bertarikh 21 Jun tahun lalu yang ditandatangani Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Pada Oktober lalu, Umno mengumumkan keahlian Tajuddin digantung selama enam tahun.

Sementara itu, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk menggantung Umno Bahagian Arau.

Isham berkata, susulan itu, seorang Ketua Pentadbir akan dilantik bagi mengetuai Umno Arau buat sementara waktu.

“Umno Bahagian Arau digantung atas sebab-sebab disiplin. Nanti akan dilantik ketua pentadbir di situ,” katanya.

Ditanya sama ada perwakilan Umno Arau akan hadir pada perhimpunan agung Umno minggu depan, Isham berkata, pentadbir yang dilantik akan memilih ahli bahagian itu yang akan hadir sebagai pemerhati.

Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengetuai Umno Arau dipecat daripada parti pada November tahun lalu susulan keputusannya bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Isteri beliau, Datuk Seri Shamsiah Yasin yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Arau turut dipecat pada Disember tahun lalu kerana membantu Shahidan berkempen. – Malaysiapost

Komen