Syamsul Yusof sah bernikah dengan Ira Kazar

Syamsul Yusof sah bernikah dengan Ira Kazar

PENGAKUAN eksklusif Syamsul Yusof telah selamat bernikah dengan wanita bernama Ira Kazar, meleraikan kemelut rumah tangga pengarah terkenal itu yang menjadi perbualan ramai sebelum ini.

Syamsul, 39, mengesahkan telah bernikah dengan Ira yang juga anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi, hari ini.

Menerusi kemaskini terbaharu Syamsul di Instagram, pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu memaklumkan pernikahannya dengan Ira berlangsung di Thailand, dan diwalikan sendiri oleh bapa pengantin perempuan.

“Hari ini saya bergelar suami Ira dengan berwalikan bapanya, Saisi. Ira kini sah menjadi isteri saya di sisi syarak dan Allah.

“Saya bernikah secara sah dengan Ira. Ada sebab saya memilih berkahwin di sini bagi memudahkan beberapa perkara,” katanya dalam video itu.

Dalam pada itu, Syamsul mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang bersabar menanti perkembangan terbaru termasuk isu rumah tangganya.

“Penghujungnya, saya kena beri penjelasan terhadap setiap persoalan. Seperti dikatakan, saya akan meletakkan titik noktah terhadap isu rumah tangga yang tidak sepatutnya di kongsi dalam media sosial, tetapi nak buat macam mana,” katanya lagi.

Sementara itu, Syamsul juga mengakui Puteri Sarah Liyana masih isterinya yang sah dan memohon agar pelakon itu pulang ke rumah untuk berbincang secara baik.

“Saya mahu menegaskan Puteri Sarah masih isteri saya. Kepada Puteri Sarah, saya mengharapkan kepulangan awak.

“Pulanglah ke rumah agar kita dapat berbincang dan tak perlu dihebahkan dalam media sosial. Bawa anak-anak kita balik. Apa sahaja kita berbincang di rumah tanpa perlu mengaibkan saya,” ujarnya.

Pengarah itu juga memohon Puteri Sarah tidak melakukan tindakan yang membelakangkan suami dan berhenti membawa anak-anak mereka tanpa keizinannya.

“Terus-terang, bawa anak-anak ke sana sini tanpa keizinan suami, sedangkan saya masih suami awak. Saya tak nak cakap lebih, fikir-fikirkanlah,” katanya.

Mengulas berkenaan keluarganya sendiri, Syamsul berkata dia tidak berniat mahu membelakangkan keluarganya.

“Tak pernah terlintas membelakangkan keluarga, Saya harap doa baik-baik daripada ibu bapa, adik-beradik dan keluarga.

“Saya berdoa keputusan yang saya buat dirahmati dan dilindungi Allah daripada segala fitnah, hasad dengki serta niat jahat.

“Paling penting, saya mengharapkan doa terbaik. Saya bukan manusia sempurna, ada masanya melakukan kesilapan,” katanya.

Sebelum ini, krisis rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mendapat perhatian setelah pengarah terkenal itu dikatakan sudah berkahwin dengan orang ketiga, Ira.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3. – Malaysiapost

Komen