UiTM kekalkan Fakulti Masscomm

UiTM kekalkan Fakulti Masscomm

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) bersetuju untuk membatalkan penggabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dengan dua fakulti lain.

Susulan keputusan itu, FKPM akan kekal sebagai fakulti tunggal.

Presiden Alumni Masscomm UiTM, Basree Rakijan berkata, perkara itu telah dimaklumkan Naib Canselor UiTM, Prof Dr Datuk Roziah Mohd Janor dalam pertemuan bersama wakil persatuan semalam.

Bagaimanapun, menurutnya institusi itu memaklumkan proses pembatalan gabungan FKPM dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta Fakulti Pengurusan Maklumat memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan.

“Dalam pertemuan itu, Alumni Masscomm meminta UiTM membatalkan serta-merta penggabungan itu berdasarkan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dimaklumkan menerusi surat bertarikh 1 November 2022 kepada universiti itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, KPT telah memutuskan sama ada UiTM menukar nama gabungan ketiga-tiga fakulti itu kepada Kolej Pengajian Media, Komunikasi, Pengkomputeran dan Informatik atau melakukan penstrukturan semula dengan mengekalkan FKPM seperti sebelum ini

Mengulas lanjut, Basree berkata, Alumi Masscomm UiTM mahu pembatalan gabungan itu perlu disegerakan bagi memastikan ia tidak menjejaskan proses pembelajaran dan pengajaran di fakulti tersebut.

Selain itu, katanya, ia juga bagi mengelakkan timbul pelbagai masalah serta kekeliruan berikutan penggabungan itu.

Menurut Basree, Alumni Masscomm sangat menghargai pendirian terbaharu pengurusan UiTM yang menerima pandangan Alumni Masscomm dan bersetuju mengekalkan FKPM.

“Saya percaya pengurusan UiTM amat serius dalam menyelesaikan kemelut ini dan jika kita perlu menunggu tiga hingga enam bulan demi kebaikan dan masa depan fakulti, kami memahami,” katanya.

Pada Oktober lalu, Alumni Masscomm UiTM telah memulakan siri bantahan terhadap penggabungan ketiga-tiga fakulti yang kini dinamakan Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media. – Malaysiapost

Komen