5 Adun Umno tak sokong keputusan tarik sokongan akan dikenakan tindakan

5 Adun Umno tak sokong keputusan tarik sokongan akan dikenakan tindakan

BARISAN Nasional (BN) Sabah akan mengenakan tindakan disiplin terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu kerana membuatl tindakan bertentangan keputusan parti.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata tindakan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor adalah keputusan parti.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana Adun Umno yang tidak menyokong keputusan parti akan dikenakan tindakan tegas.

“Walau kita sedar lima daripada Adun BN-Umno tidak menyokong tindakan kita, tapi bagi kita keputusan parti muktamad.

“Kita akan mengambil apa juga langkah dan tindakan tegas termasuk tindakan disiplin kepada mana-mana Adun yang khianat tidak sokong keputusan parti,” katanya dalam sidang akhbar malam tadi, lapor Utusan Malaysia.

Setakat ini, 13 daripada 18 Adun BN-UMNO menyokong tindakan parti untuk menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah.

Tindakan itu dilakukan susulan perjanjian persefahaman antara BN dan Perikatan Nasional (PN) Sabah telah terbatal selepas Hajiji melanggar perjanjian dimeterai selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020.

Menurut Bung Moktar, selepas Hajiji meletak jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, maka beliau telah hilang keabsahan sebagai Ketua Menteri.

Sejak semalam timbul khabar angin, BN Sabah bersama Parti Warisan akan membentuk kerajaan baharu di negeri itu. – Malaysiapost

Komen