Hajiji perlu lepaskan jawatan ketua menteri – Shafie

Hajiji perlu lepaskan jawatan ketua menteri – Shafie

DATUK Seri Hajiji Noor perlu melepaskan jawatan seperti termaktub dalam Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, kata Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ini kerana katanya, Ketua Menteri itu kini bersendirian tanpa kepastian mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah.

Beliau berkata, Hajiji sewajarnya telah hilang kelayakan sebagai Ketua Menteri apabila bersama barisan Adun serta pemimpin keluar Bersatu seperti diumumkan sebelum ini.

Mohd Shafie berkata, Perkara 6(3) yang dibaca dengan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, menyatakan Ketua Menteri hendaklah daripada ketua parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada 2020.

“Semua pihak khususnya pemimpin negeri ini harus akur dan mematuhi Perlembagaan Negeri Sabah bagi sebarang perkara berhubung pembentukan kerajaan negeri dan Ketua Negeri.

“Datuk Seri Hajiji harus menyedari sebarang kenyataan bagi mengambil hati rakyat negeri ini tidak akan menghentikan spekulasi kedudukannya yang tidak boleh dikekalkan,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin malam tadi mengumumkan keputusan Umno dan BN Sabah menarik diri daripada kerjasama membentuk kerajaan negeri dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – Malaysiapost

Komen