‘Inilah jadinya kalau angkat pemimpin bermasalah dan kurang waras’

‘Inilah jadinya kalau angkat pemimpin bermasalah dan kurang waras’

TINDAKAN Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, membawa keluar parti itu daripada kerajaan negeri disifatkan sesuatu yang menjatuhkan imej Umno.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata tindakan itu meletakkan situasi Umno lebih parah ketika usaha memulihkan parti sedang dilakukan selepas terjejas teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Pemimpin Umno Sabah dinilai sebagai ‘trouble maker’. Inilah jadinya kalau kita angkat pemimpin yang bermasalah dan kurang waras selain tidak memikirkan kesan dan akibat apabila membuat tindakan sebegini.

“Tindakan ini amat memalukan dan dapat cemuhan rakyat. Alasan Bung Moktar tidak berunding dengan dia untuk ‘reshuffle cabinet’ tidak wajar kerana tindakan ini bermula dari dia (Bung Moktar) juga.

“Kenapa tidak berunding dengan Hajiji (Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor) kalau mahu kerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan). Tindakan Bung Moktar adalah coup d’ etat atau tindakan rampas kuasa atau tebuk atap,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

Dr Yusof antara lima Adun Umno Sabah yang tidak bersetuju dengan tindakan Bung Moktar mengumumkan membawa Umno Sabah keluar daripada kerjasama membentuk kerajaan negeri malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata tindakan Bung Moktar ‘merampas kuasa’ untuk bergabung dengan Warisan gagal pada 5 Januari lalu sebelum sekali lagi gagal dalam cubaannya semalam, kerana tidak cukup bilangan.

“Sepatutnya Bung Moktar letak jawatan kerana gagal rampas kuasa. Sudah tentu Hajiji mengambil tindakan untuk pecat pengkhianat begini. Ini reaksi logik bagi membersihkan imej kerajaan.

“Kalau di Arab Saudi tindakan begini adalah hukum bunuh pancung, kalau di China hukum bunuh tembak.

“Tindakan ini menimbulkan kemarahan netizen, rakyat. Rakyat bukan mahu tukar kerajaan, tapi rakyat mahu kerajaan stabil, harga barang turun, ekonomi baik, peluang pekerjaan dan lain-lain.

“Rakyat sudah penat dengan politik ini. Pemimpin sudah penat dengan percaturan politik ini. Pegawai kerajaan sudah penat, pelabur dan peniaga semakin takut dengan cubaan rampas kuasa begini. Sepatutnya tunggulah Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, habiskan dulu penggal ini sehingga 2025,” katanya.

Kata Dr Yusof, beliau juga sudah memberi pandangan dan menasihati Bung Moktar pada 1 dan 5 Januari lalu serta semalam, supaya tidak melakukan tindakan itu kerana ia tidak akan berjaya. – Malaysiapost

Komen