Isu peruntukan: PM ajak wakil rakyat pembangkang berbincang

Isu peruntukan: PM ajak wakil rakyat pembangkang berbincang

PERDANA Menteri menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak melayani tuntutan Ahli Parlimen pembangkang dari segi peruntukan bagi kepentingan rakyat.

Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Ahli Parlimen pembangkang datang bertemu dan berbincang dengan beliau serta anggota Kabinet yang lain bagi tujuan itu.

“Sekarang ini ada yang nampak menyuarakan pandangan mengapa perlu ada (mendapat) peruntukan. Perbincangan pun belum, kenyataan dalam kalangan pembangkang pun berbeza.

“Ada kata kita (pembangkang) tak perlu terima sebab kita (akan) dikata sokong kerajaan. Ada pula yang marah kerajaan kerana tidak memberikan peruntukan.

“Bincanglah dulu. Tulis surat, saya akan tugaskan menteri untuk bincang. Apa-apa bentuk pun bincang dan kalau perlu kita lakukan. Bagi saya bukan untuk menjaga Ahli Parlimen, tapi menjaga rakyat itu tidak ada salahnya (untuk diberikan peruntukan),” katanya dalam temubual program terbitan RTM, malam tadi.

Sebelum ini, media melaporkan Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa Kerajaan Perpaduan tidak memberikan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang,

Ahli Parlimen Arau itu turut menyifatkan tindakan tersebut tidak adil kepada ahli Parlimen pembangkang.

Beliau bagaimanapun menyatakan akan membuat perbincangan secara berterusan bersama pihak terlibat bagi memastikan isu berkaitan peruntukan dapat diselesaikan. – Malaysiapost

Komen