Jawatan Pengerusi PAC milik pembangkang

Jawatan Pengerusi PAC milik pembangkang

PENGERUSI Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan diisi oleh pembangkang di Dewan Rakyat. 

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata,  Majlis Presiden PH memutuskan jawatan itu diberikan kepada pembangkang yang diterajui Perikatan Nasional (PN). 

Beliau berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara oleh pemimpin-pemimpin PH dalam mesyuarat yang dipengerusi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Oleh kerana pada waktu ini belum ada perbincangan dengan pembangkang mengenai perkara tersebut, maka, majlis presiden memutuskan bahawa pengerusi PAC nanti daripada pembangkang,” katanya kepada media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini. 

Pada penggal lepas, Ahli Parlimen Ipoh Timur daripada DAP, Wong Kah Woh  dipilih sebagai Pengerusi PAC menggantikan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad. 

Ketika itu, PN dan Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan Persekutuan manakala PH bertindak sebagai pembangkang. 

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, setakat ini belum ada senarai calon pengerusi PAC diberikan kerana jawatankuasa pemilih Dewan Rakyat akan mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum menamakan mana-mana wakil rakyat pembangkang ke dalam jawatan itu. 

“Belum ada nama lagi, cuma, dari segi semak dan imbang ia membuahkan hasil yang positif (melantik pembangkang sebagai pengerusi). 

“Ia memberi fokus kepada proses semak imbang, urus tadbir dan tatakelola dan banyak daripada kes sebelum ini kita tidak pasti sama ada diteruskan atau tidak. Jadi, terpulanglah kepada jawatankuasa itu nanti. 

“Sekiranya ada kes-kes yang terkait dengan siasatan-siasatan sebelum ini seperti isu transaksi dan sebagainya, terpulang kepada jawatankuasa yang baharu nanti untuk buat siasatan sendiri,” katanya. –Malaysiapost

Komen