Jay Chou sedia tangguh konsert, ini masanya menteri guna kuasa – Wan Fayhsal

Jay Chou sedia tangguh konsert, ini masanya menteri guna kuasa – Wan Fayhsal

INILAH masanya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengggunakan kuasa dan budi bicaranya.

Itu reaksi Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal susulan artis Taiwan, Jay Chou menyatakan kesediaan untuk menangguhkan konsertnya pada 15 Januari ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu juga berharap ada penyelesaian “menang-menang” untuk semua pihak berhubung isu tempat duduk kosong di Stadium Nasional, terutama jika Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir Piala AFF.

“Terima kasih Jay Chou! Inilah masanya Menteri Hannah Yeoh gunakan kuasa dan budi bicara menteri untuk dapatkan penyelesaian “menang-menang” untuk semua pihak.

“Lebih-lebih lagi kalau kita ke final nanti!Tahniah Ultras! Tahniah penyokong Bola Sepak Harimau Malaya!,” tulis Wan Ahmad Fayhsal di Facebooknya.

Semalam Jay Chou menerusi hantaran di Instagram berkata, dia bersedia untuk menangguhkan konsertnya, tetapi peminat bola sepak harus hubungi persatuan sukan dan pengurusan stadium mengenainya.

Ia selepas ramai peminat bola sepak Malaysia yang marah ‘menyerang’ akaun media sosial penyanyi itu, berikutan penjadualan antara persiapan untuk konsertnya bertembung dengan separuh akhir Piala AFF.

“Peminat bola sepak Malaysia, saya tahu anda memandang serius bola sepak. Saya boleh bekerjasama dan menangguhkan konsert, tiada masalah.

“Tetapi yang penting anda harus sampaikan kepada persatuan bola sepak atau penganjur tempat anda sama ada mereka membenarkan saya menangguhkan konsert.

“Saya tiada masalah dengan itu, saya cuma mahu menyanyi untuk peminat saya. Cuma saya harap apabila orang datang melihat konsert saya, mereka datang dengan hati yang gembira,” katanya. – Malaysiapost

Komen