Malaysia benam Thailand 1-0

Malaysia benam Thailand 1-0

GOL tunggal yang dijaringkan Faisal Halim menjadi bekalan tipis Harimau Malaya yang akan bertandang ke gelanggang Thailand pada 10 Januari ini. 

Dalam aksi separuh akhir pertama Kejohanan AFF Mitsubishi Electrical 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini, anak buah Kim Pan Gon memerah kudrat sepanjang perlawanan menyerap asakan Thailand yang mencari gol penyamaan setelah ketinggalan pada minit ke-11.

Harimau Malaya hanya melakukan satu perubahan pada kesebelasan utama ketika menewaskan Singapura 3-0, Rabu lalu, menyenaraikan Lee Tuck  mengambil alih peranan  Mukhairi Ajmal Mahadi yang direhatkan. 

Pada minit ke-11, Stadium Nasional gegak gempita dengan sorakan penyokong Harimau Malaya apabila Faisal Halim berjaya menguis masuk hasil tandukan V. Ruventhiran sekali gus menewaskan penjaga gol Thailand. 

Bagaimanapun, Malaysia dipaksa bertahan selepas itu dengan Thailand melancarkan serangan bertali arus yang diketuai penyerang veteran Teerasil Dangda. 

Mujur aksi tangkas penjaga gol Syihan Hazmi berjaya menyelamatkan pintu gol Malaysia sekali gus mengecewakan barisan serangan Thailand. 

Malaysia hampir melebarkan kedudukan pada minit ke-27, namun tendangan Quentin Cheng melepasi palang gol ketika hanya berdepan penjaga gol Thailand. 

Bersambung pada babak kedua, Thailand menggandakan asakan ke kubu Malaysia dalam mencari gol penyamaan. 

Namun perlawanan menjadi panas dan terhenti kira-kira lima minit selepas pengadil membatalkan gol jaringan Dominic Tan hasil sepakan percuma Lee Tuck pada minit ke-55.

Pengadil mendakwa pertahanan Thailand telah disiku pemain Malaysia namun ulang tayang di kaca televisyen kekasaran itu tidak berlaku. 

Selepas itu Thailand telah melancarkan serangan namun barisan pertahanan Malaysia kental bertahan disamping aksi cemerlang Syihan yang berjaya menafikan beberapa percubaan merbahaya Thailand. 

Harimau Malaya melakukan beberapa pertukaran bagi mengimbangi Thailand yang menguasai bahagian tengah, peluang muncul hasil serangan kilat menerusi percubaan solo pemain gantian  Hakimi Azim pada minit ke-77, namun sepakannya tidak menemui sasaran. 

Akhirnya tiupan wisel penamat ditiup pengadil yang menyaksikan Harimau Malaya berhadapan tugas getir dengan bekalan satu gol ke Thailand. -Malaysiapost

Komen