Perjuangan baru bermula, akan diteruskan sehingga akhir – Bung Moktar

Perjuangan baru bermula, akan diteruskan sehingga akhir – Bung Moktar

PENGERUSI Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi menjelaskan situasi politik semasa negeri itu.

Menerusi perkongsian di Facebook, Bung Moktar menyifatkan ‘perjuangannya’ baru bermula dan akan diteruskan sehingga akhir.

Ia dipercayai berhubung pengumumannya semalam berhubung penarikan sokongan Barisan Nasional (BN) Sabah daripada kerajaan negeri selepas hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri dan selaku Presiden Umno memaklum dan memberi penjelasan berkenaan isu pergolakan politik Sabah

“Setiap yang bermula pasti akan ada pengakhirannya! Perjuangan baru bermula dan perjalanan mesih jauh dan panjang!,” katanya dalam hantaran itu.

Semalam, Bung Moktar menerusi satu sidang media mengumumkan menarik sokongan daripada kerajaan Sabah selepas hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan Hajiji melanggar perjanjian persefahaman dengan BN susulan keputusan Ketua Menteri menamatkan lantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurutnya, Hajiji turut mengugut dengan rombakan Kabinet negeri tanpa berunding terlebih dahulu dengan pimpinan BN Sabah.

Terdahulu, media melaporkan Hajiji mengumumkan Kabinet kerajaan negeri akan dirombak.

Bagaimanapun, perincian mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat. – Malaysiapost

Komen