Bung Moktar letak jawatan Presiden SAFA

Bung Moktar letak jawatan Presiden SAFA

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) berkuatkuasa serta-merta.

Bung Moktar berkata, peletakan jawatan itu dibuat atas kerelaannya sendiri selain mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya politik.

Beliau berkata, surat peletakan jawatan secara rasmi akan dihantar kepada Setiausaha Agung SAFA dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan.

Dalam perkembangan sama, beliau mengakui sedikit kecewa dengan pencapaian turun naik pasukan Sabah FC.

Bagaimanapun katanya, sepanjang mengetuai badan induk bola sepak itu, pasukan telah berupaya melakukan perubahan dalam pencapaian selain pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan.

“Saya tetap gembira kerana sedikit sebanyak berjaya membawa perubahan kepada pentadbiran SAFA dan beberapa kejayaan pasukan Sabah FC walaupun ia masih di tahap yang masih belum memuaskan.

“Mengurus badan induk bola sepak khususnya pasukan Sabah FC memerlukan sokongan serta dokongan daripada semua pihak terutama daripada peneraju utama kepimpinan negeri yang memerlukan kesungguhan untuk membantu SAFA khususnya pasukan Sabah FC melangkah lebih jauh ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar menegaskan sejak mengambil alih tampuk pentadbiran SAFA, tiada sebarang agenda peribadi selain berhadapan dengan pelbagai cabaran dari segi kekangan waktu dan sumber kewangan untuk memajukan mutu serta pencapaian sukan bola sepak di negeri itu.

“Menjadi harapan saya dan semua peminat yang selama ini menyanjung tinggi pasukan bola sepak Sabah agar terus memberikan sokongan kepada pengganti saya,” katanya.

Untuk rekod, beliau memegang jawatan berkenaan sejak Jun 2021. Pada Disember 2020 Ahli Majlis Tertinggi SAFA sebulat suara bersetuju melantik Bung Moktar sebagai pemangku Presiden.

Beliau kemudian disahkan sebagai Presiden SAFA pada Jun 2021, apabila kesemua badan gabungan secara konsensus memilih beliau menjawat jawatan berkenaan. – Malaysiapost

Komen