Kes jurulatih tampar pemain dibawa ke Unit Tatatertib, Integriti KPM

Kes jurulatih tampar pemain dibawa ke Unit Tatatertib, Integriti KPM

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan kes jurulatih menampar dua pemain pasukan bola tampar wanita, sudah dibawa ke Unit Tatatertib dan Integriti Kementerian Pendidikan (KPM) untuk siasatan selanjutnya.

Beliau berkata, proses siasatan sedang berjalan dan pihaknya masih menunggu keputusan berhubung kes tersebut.

“Berkenaan isu itu, kita sudah pun selesai siasatan dan kes sudah dibawa ke Unit Tatatertib dan Integriti KPM. Kita sedang menunggu hasil siasatan tersebut. Ingin saya tekankan, dari awal sudah kita nyatakan dalam kes ini, proses sangat penting.

“Kita ada ruang keadilan untuk semua pihak malah guru tersebut juga boleh buat representasi. KPM tidak berkompromi soal keganasan.

“Proses (siasatan) sedang berlangsung, jadi kita tunggu lah hasil siasatan daripada Unit Tatatertib dan Integriti KPM,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Pasar Percuma 2023 Parlimen Nibong Tebal, Pulau Pinang, hari ini.

Sebelum ini, satu video memaparkan tindakan jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemainnya tular di laman media sosial.

Kejadian dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja (Bawah 14 tahun) B-14 2022 bagi kategori perempuan pada 16 Disember lalu.

Dalam video itu, jurulatih pasukan Melaka dilihat menampar dua pemainnya yang menyebabkan pasukan kehilangan mata sebelum tempoh rehat permainan. – Malaysiapost

Komen