Krisis politik Sabah: Rakyat marah, mual dengan politik – Rahman Dahlan

Krisis politik Sabah: Rakyat marah, mual dengan politik – Rahman Dahlan

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menzahirkan rasa marah dan kecewa dengan krisis politik yang sedang melanda Sabah ketika ini.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Tuaran berkata, rakyat Sabah berhak mendapat kestabilan politik dan ruang untuk bernafas daripada semua kekalutan politik.

“Apakah tiada langsung, walau pun sekelumit, perasaan simpati kepada rakyat Sabah yang sedang bergelut dengan cabaran kehidupan dan ekonomi?

“Takkan asyik berpolitik 24jam!,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut Abdul Rahman, rakyat mula marah, mual dan muak dengan politik.

“‘Kesabaran’ dalam berpolitik adalah tuntutan demokrasi. Ianya salah satu tiang seri demokrasi, kalau tiada kesabaran, demokrasi akan pincang,” katanya.

Media melaporkan, Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah secara rasmi membuat keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan negeri Sabah selepas hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau dipetik berkata, Hajiji telah melanggar perjanjian persefahaman yang dibentuk di bawah kerajaan negeri Sabah. – Malaysiapost

Komen