MOTAC cadang sedia laluan mudah untuk pengembara China

MOTAC cadang sedia laluan mudah untuk pengembara China

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menghantar pegawai yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Mandarin untuk ditempatkan di semua lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata penempatan pegawai itu bagi membantu melancarkan proses kemasukan pengembara khususnya dari China yang lemah berbahasa Inggeris serta tidak memahami Bahasa Malaysia.

King Sing berkata, pihaknya menjangkakan sejumlah besar pengembara dari China akan ke Malaysia untuk melancong selepas lebih tiga tahun negara itu menutup sempadannya.

“Bagi menerima dan mengalu-alukan kedatangan pelancong China dengan lebih baik, MOTAC mencadangkan untuk menyediakan laluan mudah di lapangan terbang antarabangsa. Ini bukan sahaja untuk kelancaran, tetapi juga dapat menyingkatkan proses ketibaan.

“Selain mempercepat proses pemeriksaan kastam tanpa menjejaskan pengembara dari negara-negara lain, langkah ini juga dapat menonjolkan sifat mesra Malaysia dalam mengalu-alukan kedatangan pengembara dari China,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, MOTAC akan menyelaraskan usaha ini bersama pihak pengurusan lapangan terbang antarabangsa seluruh negara dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta memastikan ketersediaan di pintu sempadan negara.

Katanya, dalam masa sama, pihaknya juga tetap mengambil kira tahap kesihatan dan keselamatan pengembara dari China serta menghapuskan kebimbangan pelancong asing berhubung langkah Malaysia dalam mengetatkan SOP di pintu masuk negara.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Jabatan Imigrese kerana bersetuju membuka laluan mudah, bagi memudah dan mempercepatkan proses kemasukan pengembara yang memasuki negara kita, serta mempercepatkan proses pemeriksaan kastam,” katanya.

Sebelum ini, MOTAC menegaskan memperketatkan SOP kemasukan pengembara dari luar negara termasuk China bukan langkah tepat dan berkesan buat masa ini.

King Sing berkata, soal keselamatan dan kesihatan rakyat tegap menjadi keutamaan, namun perlu diseimbangkan dengan faktor ekonomi yang turut penting untuk negara. – Malaysiapost

Komen