Ops Hire: Pengarah, pengurus syarikat didakwa esok

Ops Hire: Pengarah, pengurus syarikat didakwa esok

TIGA individu termasuk pengarah dan pengurus syarikat akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok berhubung isu penyelewengan dana Program Penjana Kerjaya.

Difahamkan mereka akan didakwa pada pukul 9 pagi, lapor Kosmo.

Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melakukan operasi besar-besaran digelar Ops Hire.

Ia susulan dakwaan berlakunya penyelewengan dana Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Menerusi Ops Hire, lebih daripada 40 individu yang terdiri daripada pemilik, pengarah dan pengurus syarikat telah ditahan serta disiasat selepas dipercayai mengemukakan invois Program Latihan Insentif Pengambilan Pekerja yang mengandungi butiran palsu kepada Perkeso.

Kesemua tuntutan tersebut dikatakan untuk memperolehi bayaran di bawah peruntukan Penjana berjumlah kira-kira RM700,000 sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Beberapa kertas siasatan berhubung tuntutan palsu insentif PenjanaKerjaya juga telah dibuka oleh SPRM membabitkan penipuan dianggarkan sebanyak RM100 juta. – Malaysiapost

Komen