Payung Rahmah inisiatif bantu B40, pelajar universiti

Payung Rahmah inisiatif bantu B40, pelajar universiti

PROGRAM Payung Rahmah akan diperkenalkan sebagai salah satu langkah jangka pendek kerajaan dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup golongan B40 dan pelajar universiti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, ia juga membabitkan kerjasama kementerian lain termasuk Kementerian Ekonomi serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Menurutnya, Program Payung Rahmah adalah langkah jangka pendek mengurangkan beban golongan berkenaan dalam tempoh enam bulan, dan dijangka dilaksanakan selama 100 hari.

“Program Payung Rahmah Kasih Sayang ini adalah inisiatif berfokus selama enam bulan yang menyentuh golongan B40 dan miskin tegar, yang jika tidak dibantu kita bimbang keadaan ekonomi global yang dijangka begitu serius tahun ini menyebabkan mereka akan terkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis kesyukuran Parti Amanah Negara (Amanah) Parlimen Pulai, malam tadi.

Mengulas lanjut Salahuddin berkata, program itu membabitkan empat elemen, iaitu Bakul Rahmah, Kafe Rahmah, Jualan Murah Rahmah dan Barangan Rahmah bagi menyantuni golongan B40.

“Bakul Rahmah menumpukan kepada pemberian bakul makanan setiap bulan, manakala Barangan Rahmah membabitkan 10 barangan asas yang dijual pada harga lebih rendah untuk golongan B40.

“Kafe Rahmah pula adalah khusus bagi pelajar universiti bagi mendapatkan makanan pada harga lebih murah dengan pelajar susah akan dibantu,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram berkata, kerajaan telah menetapkan beberapa pelan jangka pendek, sederhana, dan panjang dalam mendepani isu kos sara hidup rakyat. – Malaysiapost

Komen