PH masih pembangkang di Johor – Salahuddin

PH masih pembangkang di Johor – Salahuddin

PAKATAN Harapan (PH) masih lagi berperanan sebagai pembangkang di Johor berikutan tiada lagi perbincangan untuk bentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, bagaimanapun hubungan antara kedua-dua parti itu adalah sangat baik atas semangat perpaduan.

“Setakat ini, hubungan ini kita rasakan sangat baik cuma secara rasminya, kita tak dapat menentukan apakah bentuk kerjasama pada masa akan datang.

“PH Johor masih lagi duduk di barisan pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita masih belum buat apa-apa keputusan lagi di Johor. Namun semua (PH dan BN Johor) kami faham bahawa semangat perpaduan Kerajaan Persekutuan itu sangat mendasari hingga ke negeri ini,” katanya selepas Jamuan Kenduri Rakyat Petugas Parlimen Pulai, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hubungan dan bentuk kerjasama PH dan BN di Johor.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac tahun lalu, BN meraih kemenangan dua pertiga selepas memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PH pula memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (tiga), manakala PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masing-masing satu kerusi.

Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, BN Johor hanya berjaya menang sembilan kerusi Parlimen berbanding 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan sekali gus gagal mencapai sasaran untuk menang sekurang-kurangnya 20 kerusi.

PH pula menang 15 kerusi Parlimen di Johor termasuk Parlimen Muar yang dimenangi Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

PN juga berjaya meraih dua kerusi Parlimen di Johor iaitu Mersing dan Pagoh. – Malaysiapost

Komen