PM harap lawatan ke Indonesia teroka peluang kerjasama baharu, kukuh hubungan

PM harap lawatan ke Indonesia teroka peluang kerjasama baharu, kukuh hubungan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

Malah, Perdana Menteri turut berharap lawatan berkenaan dapat meneroka peluang kerjasama baharu menerusi perbincangan bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo.

“Tiba di Jakarta, Indonesia bersama (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) bagi mengadakan lawatan rasmi pertama di negara ini.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jakarta.

“Ketibaan saya disambut Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia Basuki Hadimuljono dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono,” katanya menerusi hantaran terkini di Facebook.

Anwar berkata, lawatan rasmi itu turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul TengkuAbdul Aziz dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Adlan Mohd Shaffieq.

Terdahulu, Perdana Menteri hari ini berlepas ke Jakarta, Indonesia bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke negara jiran itu.

Pesawat khas yang membawa Anwar dan Dr Wan Azizah berlepas kira-kira jam 12.50 tengah hari dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Lawatan ke Indonesia itu adalah lawatan rasmi pertama oleh Anwar sejak dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lepas.

Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo esok yang memberi peluang kepada Kuala Lumpur dan Jakarta menilai kemajuan kerjasama dua hala, meneroka peluang kerjasama baharu serta menggalakkan usaha bersama untuk menangani cabaran serantau dan global.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan berkenaan perkembangan serantau dan global terutama situasi di Myanmar dan usaha bersama untuk menangani diskriminasi minyak sawit memandangkan Malaysia dan Indonesia merupakan pengeksport terbesar dunia.

Dalam lawatan itu, lapan memorandum persefahaman antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia akan dimeterai dengan jumlah projek dianggarkan bernilai RM1.16 bilion. – Malaysiapost

Komen