‘Prasangka buruk dorong Tommy gesa saya dituduh di mahkamah?’ – Shahrir

‘Prasangka buruk dorong Tommy gesa saya dituduh di mahkamah?’ – Shahrir

BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas didakwa terbeban dengan prasangka buruk bagi mempercepatkan pendakwaan terhadap Tan Sri Shahrir Ab Samad walaupun penyiasatan belum lengkap.

Bekas Pengerusi Felda yang dibebaskan daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta itu berkata, dalam minda Tommy sudah terpahat prasangka terhadap pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Kesimpulan saya mudah. Tommy Thomas menyifatkan dirinya sebagai seorang Peguam Negara yang melakukan ‘reform’ tapi masalah peribadinya ialah dia terbeban dengan prasangka buruk.

“Adakah prasangka buruk ini yang mendorongnya mengesa untuk saya dituduh di mahkamah walaupun penyiasatan tidak lengkap?” soalnya dalam Facebook hari ini.

Shahrir berkata, prasangka buruk Tommy itu dikesan dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness” yang ditulis selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan dia tidak lagi menjadi Peguam Negara.

Katanya, dalam buku itu, Tommy sebanyak dua kali menulis bahawa beliau akan bertindak sebagai seorang Peguam Negara yang akan melakukan perubahan dalam sebuah pentadbiran atau kerajaan yang akan melakukan reform.

Namun menurut Shahrir, walaupun Tommy berwaspada dalam tindakannya namun kewaspadaan itu adalah dari segi cabaran praktikal bukan hasratnya.

“Cabaran sebenar Tommy adalah prasangka buruk yang sudah terpahat dalam mindanya sendiri.

“Penulisan ini menunjukkan prasangkanya terhadap pentadbiran terdahulu walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan keadaan sebenar bahawa tidak terdapat sebarang kesalahan dalam institusi-institusi tersebut.

“Sebenarnya, bagi Felda iaitu agensi kerajaan yang saya menjadi pengerusinya dari Januari 2017 sehingga Mei 2018, audit forensik yang dilakukan ke atas Felda pada 2016 telah menyebabkan Pengarah Besar dan timbalannya ketika itu dibicarakan serta dipenjarakan.

“Itu pembersihan semasa pentadbiran Barisan Nasional. Tambahan lagi, tindakan undang-undang terhadap Tan Sri Isa Samad iaitu Pengerusi Felda sebelum saya, telah dimulakan semasa pentadbiran BN lagi walaupun perbicaraan berlaku semasa pentadbiran PH,” katanya.

Pada 5 Januari lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). – Malaysiapost

Komen