Salahuddin ingatkan jangan ulangi ‘langkah syaitan’

Salahuddin ingatkan jangan ulangi ‘langkah syaitan’

RAKYAT perlu memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan keupayaannya mentadbir negara selama satu penggal.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, rakyat boleh menilai dan menghukum kerajaan sekiranya gagal menunjukkan prestasi yang baik menerusi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Tegasnya, peristiwa seperti ‘langkah syaitan (Sheraton) seperti yang terjadi pada Februari 2020 perlu dielakkan kerana tindakan itu merupakan tindakan yang jijik dan tidak bermaruah.

“Beri kami peluang perintah negara selama sepenggal, jangan ada usaha yang kotor, jangan ada usaha yang jijik, tidak bermoral dan jangan ada usaha biadap, biar kami perintah Malaysia satu penggal.

“Kalau sudah satu penggal dan kami tidak ‘perform’, rakyat boleh pilih semula, tidak mengapa, tetapi jangan ambil langkah syaitan (Sheraton) lagi di tengah jalan,” katanya pada Majlis Jamuan Kenduri Rakyat Petugas Parlimen P161 Pulai, di Pulai, malam tadi.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Sabah merujuk kaedah kerjasama Kerajaan Perpaduan yang dilaksana di peringkat Pusat bagi mentadbir negeri itu.

“Berhubung isu yang sedang berlaku di Sabah, nasihat kami adalah kalau tidak mampu untuk mengekalkan kerajaan negeri sedia ada, wujudkan satu Kerajaan Perpaduan.

“Jangan pula sebaliknya, jatuh menjatuh antara satu sama lain. Kita (PH) mahu perintah Malaysia selama satu penggal cukup lima tahun dan akan cuba buat yang terbaik untuk rakyat, InsyaAllah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi PH Johor itu memaklumkan, pihaknya masih merupakan pembangkang di peringkat negeri ini walaupun terdapat jalinan kerjasama menerusi Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

“Kita masih belum buat apa-apa keputusan di Johor, tetapi kami faham bahawa semangat perpaduan kerajaan pusat itu sangat mendasari, setakat ini saya yakin dan percaya hubungan wakil rakyat PH Johor dengan kerajaan negeri ada kerjasama baik.

“Tidak timbul isu kerana ketika berdepan masalah rakyat di Flat Melana dan juga banjir kilat di Kampung Pasir, bila wakil rakyat PH panggil ada pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) hadir dan berdialog.

“Agensi kerajaan juga memberikan kerjasama sangat baik, cuma secara rasminya masih belum dapat tentukan bentuk kerjasama di peringkat negeri. Selepas tamat sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) baru-baru ini, kita (wakil rakyat PH) masih duduk di blok pembangkang,” katanya. – Malaysiapost

Komen