Zahid yakin ada formula tamatkan kemelut politik Sabah

Zahid yakin ada formula tamatkan kemelut politik Sabah

KEMELUT politik Sabah ketika ini boleh dirungkaikan menerusi formula tertentu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tanpa menyatakan secara lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, formula itu antaranya memperincikan kehendak atau ‘wishlist’ yang dikemukakan pihak terlibat, namun pastinya ia akan dipertimbang secara rasional.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, formula penyelesaian itu akan dibawa dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam masa terdekat.

“Walaupun ia (kemelut politik Sabah) nampak besar, tetapi saya yakin ada formula yang akan kita bawa ke Kota Kinabalu, dan saya fikir ‘gencatan senjata’ mesti dilakukan sekarang, dan tidak ada sebarang kenyataan daripada mana-mana pihak yang menyentuh mengenai perkara itu.

“Rakyat jangan dibebani jika berlaku ‘hung government’ ataupun masalah perundangan mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri ataupun perlembagaan negeri itu sendiri,” katanya kepada media selepas melawat Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media, di ibu negara, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno mahu kestabilan politik di peringkat nasional diterjemahkan di peringkat negeri termasuk dalam isu di Sabah.

Jumaat lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga Timbalan Ketua Menteri, mengumumkan keputusan untuk menarik sokongan daripada kerajaan Sabah.

Bagaimanapun semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Sabah bagi membincangkan isu politik negeri itu akan diadakan sebaik sahaja beliau pulang daripada lawatan rasmi ke Indonesia. – Malaysiapost

Komen