Anwar disambut Jokowi di Istana Kepresidenan Bogor

Anwar disambut Jokowi di Istana Kepresidenan Bogor

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi di Istana Kepresidenan Bogor, Indonesia, hari ini.

Pertemuan sempena lawatan rasmi selama dua hari ke negara jiran itu turut dikongsikan di laman Facebook rasmi Perdana Menteri.

Sejurus tiba di kompleks pejabat eksekutif dan kediaman rasmi presiden pada hari kedua lawatan, Anwar yang bersongkok disambut oleh Jokowi.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan diikuti dengan tembakan meriam, sebelum Anwar sambil diiringi Jokowi memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada anggota pasukan keselamatan presiden.

Perdana Menteri kemudian diperkenalkan dengan Menteri Kabinet Indonesia, diikuti upacara menanam pokok jenis merawan (hopea odorata) di halaman belakang istana presiden sebelum kedua-dua pemimpin meneruskan agenda perbincangan.

Anwar yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Indonesia bermula semalam diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Adlan Mohd Shaffieq.

Kedua-dua pemimpin dijangka berbincang dan menilai kerjasama dua hala selain meneroka peluang kerjasama baharu. – Malaysiapost

Komen