Bila Peguam Negara baharu nak dilantik? – Puad

Bila Peguam Negara baharu nak dilantik? – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa Kerajaan Perpaduan menyegerakan pelantikan Peguam Negara baharu.

Menurutnya, reformasi institusi mesti disegerakan bagi mengelakkan kezaliman berterusan yang dilakukan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

“Pengguguran kes Tan Sri Shahrir Ab Samad menjadi bukti terlalu banyak kezaliman dilakukan Tommy.

“Isunya, apakah Peguam Negara sekarang berkompromi dengan kepincangan itu. Apakah Peguam Negara sekarang mahu lepas tangan sehingga kontraknya tamat?.

“Kalau begitu lebih baik cuti awal sebelum kontrak tamat. Keadilan tidak boleh ditangguh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Puad berkata, kes Shahrir yang berlangsung hampir tiga tahun adalah kezaliman yang tidak boleh dibayar.

“Sebab itu reformasi institusi mesti disegerakan,” katanya.

Khamis lalu, Shahrir yang juga bekas Pengerusi Felda dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan wang RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan berkenaan selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan bekas Pengerusi Felda itu.

Bulan lalu, media melaporkan tiga hakim yang sedang berkhidmat dikhabarkan akan dipertimbangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu.

Mereka yang kemungkinan mengisi jawatan itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, selain dua Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil. – Malaysiapost

Komen